PUTRAJAYA – Beberapa penambahbaikan terakhir sedang dilakukan bagi memastikan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya berlangsung lancar dan teratur menjelang raptai penuh esok.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tahap persiapan ketika ini berada pada landasan baik dan dijangka menghampiri 100 peratus selepas beberapa aspek teknikal diselesaikan.
“Ada beberapa kontinjen yang pergerakannya agak jauh daripada kontinjen sebelumnya, jadi (perkara itu) perlu diperkemas sedikit. Insya-Allah, menjelang (raptai penuh) kita percaya (persiapan) capai hampir 100 peratus,” katanya selepas meninjau raptai sambutan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata, kelancaran latihan turut dipengaruhi keadaan cuaca yang baik.
Pada masa sama, beliau memuji komitmen peserta yang disifatkan berada pada tahap tinggi, termasuk anggota keselamatan serta pelajar sekolah dari tiga negeri yang mengambil bahagian dalam persembahan grafik manusia.
Beliau berkata, beberapa kelainan turut diperkenalkan pada sambutan kali ini bagi memberikan nafas baharu kepada perbarisan, termasuk penggunaan aset dan formasi baharu.
Antara yang mencuri perhatian ialah penyertaan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), selain aset maritim Bot Kelas Ibrahim yang direka sendiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengenai persembahan grafik manusia, Fahmi berkata keselamatan struktur bertingkat yang digunakan untuk menempatkan 1,500 pelajar sudah diperiksa dan diberi perhatian sewajarnya oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).
Beliau berkata, sedikit pergerakan yang dapat diperhatikan pada struktur itu tidak menjejaskan aspek keselamatan kerana ia berada dalam lingkungan toleransi yang diperlukan ketika peserta melakukan pergerakan berirama.
“Struktur itu perlu mempunyai sedikit toleransi pergerakan dan sudah dipastikan selamat. Ini juga kali ketiga digunakan dan setakat ini tiada sebarang masalah,” katanya.
Fahmi berkata, kedudukan struktur yang kelihatan sedikit tidak simetri pula mempunyai kaitan dengan kedudukan laluan perarakan dan bangunan PPj yang tidak terletak pada paksi sama.
Beliau berkata, keadaan itu turut dipengaruhi pengurangan jumlah peserta persembahan grafik manusia tahun ini kepada 1,500 orang berbanding 2,000 orang sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau meminta urus setia supaya mengambil kira perkara berkenaan dalam aspek perancangan dan penyesuaian teknikal pada penganjuran akan datang bagi memastikan susunan struktur lebih bersesuaian serta mengelakkan timbulnya persepsi negatif.





