
MUKAH – Tiga lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berhampiran pondok pengawal sebuah ladang di Jalan Mukah-Balingian pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, ketiga-tiga suspek ditahan menerusi serbuan Op Tapis Khas pada jam 5 petang.
Menurut beliau, suspek pertama yang merupakan seorang penganggur berusia 57 tahun ditahan di bahagian belakang pondok pengawal berkenaan.
“Pemeriksaan ke atasnya membawa kepada penemuan satu keratan tiub straw plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.45 gram.
“Suspek yang memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah kini direman selama dua hari hingga 28 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Muhamad Rizal memaklumkan dua lagi suspek yang masing-masing berusia 28 dan 37 tahun telah ditahan di bahagian hadapan pondok pengawal yang sama.
Tambahnya, suspek kedua bekerja sebagai pembantu kedai dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau, manakala suspek ketiga yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memiliki dua rekod lampau.
“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin.
“Dua suspek (berusia 28 dan 37 tahun) disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama dan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” jelasnya.







