
IPOH – Kegiatan memiliki dan menyimpan daun ketum serta air minuman itu membawa padah apabila lima lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kerian dan Hilir Perak, pada Isnin dan Selasa.
Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 196 kilogram (kg) daun ketum bernilai kira-kira RM2,940 selain lebih 11 liter air ketum.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pertama dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kerian di sebuah rumah di Kampung Nelayan, Tanjung Piandang, kira-kira 10.30 malam, semalam.
Katanya, tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan dalam operasi itu selepas pemeriksaan mendapati mereka dipercayai memiliki air ketum.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, polis merampas sebuah botol plastik lutsinar mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 0.6 liter.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian dapur rumah berkenaan turut menemukan 22 bungkus plastik yang mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 11.01 liter,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sepasukan anggota BSJND Hilir Perak menjalankan pemeriksaan di belakang sebuah rumah di Jalan Chenderong Balai, kira-kira 12.20 tengah malam tadi.
Hasil pemeriksaan menemukan 22 bungkus plastik berwarna hitam mengandungi daun disyaki ketum dengan anggaran berat keseluruhan 196kg, bernilai kira-kira RM2,940.
Dua lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan dan semakan awal mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod lampau.
Kesemua lima suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Mohd Alwi berkata, rampasan daun ketum dan air ketum itu dipercayai untuk tujuan pengedaran, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran bahan berkenaan.
“Polis Perak akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang serta menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada balai polis berhampiran,” katanya.





