KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, seiring prestasi positif pasaran serantau susulan pemulihan Wall Street semalam.
Pada 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.60 mata kepada 1,735.92 daripada 1,731.32 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.79 mata lebih tinggi pada 1,732.11.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 267 berbanding 139, manakala 268 kaunter tidak berubah, 2,198 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 223.02 juta saham bernilai RM141.52 juta.
Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota hari ini berkata, Wall Street mengalami pemulihan selepas Perbendaharaan AS membeli bon bagi meredakan peningkatan hasil bon yang sejak kebelakangan ini memberi tekanan kepada pasaran kewangan global.
Susulan campur tangan itu, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 4.65 peratus.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pasaran global masih dipengaruhi oleh hasil bon yang tinggi. Oleh itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,725 hingga 1,735 hari ini,” katanya, lapor Bernama.





