
SANDAKAN – Sebanyak 28 rumah atas air musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Pulau Nunuyan Laut, di sini, awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 3.50 pagi.
Beliau berkata, seramai 10 anggota BBP Sandakan dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat awal kebakaran membabitkan lebih 10 rumah.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 5.25 pagi dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menyediakan bot bagi membawa anggota dan peralatan operasi.
“Jarak perjalanan dari BBP Sandakan ke Jeti Maritim adalah 6.1 kilometer (km), manakala jarak dari jeti ke lokasi kejadian kira-kira 12 kilometer,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Jimmy berkata, kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal dalam kawasan berkeluasan kira-kira 30 meter x 200 meter.
Menurutnya, keadaan angin kuat ketika kejadian menyebabkan api merebak pantas dari sebuah rumah ke rumah yang lain selain menyukarkan pergerakan pasukan bomba ke lokasi.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada air laut.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.45 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya menyelamatkan 162 rumah daripada turut terjejas dalam kebakaran berkenaan.
“Operasi pemadaman dan pemantauan masih diteruskan bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya serta mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran,” tambahnya.




