
SEPANG – Harga produk asas seperti ayam dan telur dijangka mampu stabil apabila pengeluaran jagung bijian tempatan secara berskala besar dilaksanakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia kini mengimport kira-kira 2.5 juta tan jagung bijian setahun dengan nilai sekitar RM3 bilion dari negara termasuk Argentina dan Brazil.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan pengeluaran tempatan mampu memenuhi kira-kira 30 peratus keperluan jagung bijian negara menjelang 2040.
“Insya-Allah (stabilkan harga produk asas). Sebab harga ayam bergantung benar kepada makanan ayam ini. Jagung bijian serta soya ini kita import 100 peratus.
“Sekarang ini jagung bijian kita ada teknologi untuk usahakan di Malaysia. Soya pula di peringkat penerokaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Varieti Jagung Bijian Tempatan dan Penanaman Jagung Bijian Berskala Besar, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan menjalankan kajian berkaitan pengeluaran soya tempatan, manakala teknologi penanaman jagung bijian kini sudah bersedia untuk diperluaskan.
Dalam usaha meningkatkan pengeluaran tempatan, kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat swasta termasuk Genting Plantations Berhad.
Bagi projek di Bute Div. Genting Tanah Merah Estate di Sepang, sebanyak 49.13 hektar telah dibangunkan dengan 15.51 hektar daripadanya sudah ditanam.
Keluasan projek itu disasarkan meningkat kepada 100 hektar menjelang 2027, dengan hasil pertama dijangka diperoleh pada hujung tahun ini.
Selain Sepang, penanaman jagung bijian berskala besar turut dirancang di Perlis membabitkan kira-kira 2,500 hektar dan Sarawak sekitar 5,500 hektar.
Penanaman juga telah dimulakan di beberapa kawasan di Perak, Johor dan Pahang sebagai sebahagian usaha memperluas pengeluaran jagung bijian tempatan.
Mohamad berkata, risiko perubahan cuaca global dan dalam negara serta ketegangan geopolitik turut mendorong Malaysia memperkukuh pengeluaran bahan makanan ternakan sendiri.
“Malaysia dijangka menghadapi cuaca panas El Nino yang mungkin akan lebih meruncing tahun hadapan. Tetapi kalau soal geopolitik kita tidak boleh nak ramalkan.
“Inilah persediaan kita untuk menjadi self-sufficient, sebahagian jagung bijian ini dapat kita sediakan di dalam Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak semestinya perlu mencapai tahap sara diri penuh dalam masa terdekat, sebaliknya usaha perlu dilakukan secara berperingkat ke arah matlamat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata MARDI telah membangunkan dua varieti jagung bijian tempatan, iaitu MZ1 dan MZ2, yang akan digunakan dalam projek penanaman berskala besar.
Katanya, kedua-dua varieti berkenaan dinilai berdasarkan ketahanan terhadap cuaca dan persekitaran tempatan, hasil pengeluaran serta ketahanan terhadap penyakit.
Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah sebahagian pendekatan baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang memberi tumpuan kepada pengeluaran berskala besar, mekanisasi, rantaian nilai bersepadu serta pengeluaran berasaskan permintaan pasaran.









