
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong penuh hasrat kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos lalu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, pemansuhan AUKU perlu menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa golongan berkenaan.
“Semoga tiada lagi mahasiswa yang menjadi mangsa kerana bersuara. Universiti seharusnya menjadi tempat mahasiswa belajar mengemukakan pandangan, mengkritik dasar, berbeza pendapat dan mempertahankan hujah berdasarkan ilmu dan fakta,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Menurutnya, selama lebih lima dekad, AUKU menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan yang mengawal ruang mahasiswa dalam berpersatuan, bersuara, berpolitik dan berinteraksi dengan masyarakat.
Beliau berkata, sekatan di bawah AUKU pada suatu ketika turut melangkaui pagar universiti apabila mahasiswa berdepan batasan dalam penglibatan dengan parti politik, pertubuhan dan aktiviti di luar kampus.
Azli berkata sejarah gerakan mahasiswa juga tidak boleh dilupakan, termasuk penglibatan mereka dalam membangkitkan isu kemiskinan, harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial pada era 1970-an.
Katanya, Peristiwa Baling 1974 antara contoh penglibatan mahasiswa dalam gerakan membela nasib rakyat pada ketika itu.
Beliau turut menyentuh kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010.
“Mahkamah Persekutuan pada 2012 menolak rayuan kerajaan berhubung keputusan yang mencabar sekatan terhadap mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap parti politik,” katanya.
Azli berkata mahasiswa yang prihatin terhadap masalah rakyat perlu dilihat sebagai aset dan bukannya ancaman kepada negara kerana mereka wajar diberi ruang untuk mempelajari demokrasi melalui pengalaman sebenar.
Menurutnya, pindaan AUKU pada 2012 yang melonggarkan beberapa sekatan terhadap penglibatan politik mahasiswa merupakan langkah penting, namun reformasi tidak seharusnya terhenti pada pindaan kecil.
“Pemansuhan AUKU sepenuhnya harus menjadi pemula untuk membina kerangka baharu yang lebih demokratik, matang dan berasaskan autonomi sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan kerangka baharu yang dibangunkan memberi penekanan kepada jaminan kebebasan bersuara, hak berpersatuan, proses tatatertib yang telus, mekanisme rayuan yang berkesan serta ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus.








