
IPOH – DAP Perak menegaskan pendirian untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa bagi memastikan kestabilan politik, meneruskan agenda reformasi serta menunaikan mandat yang diberikan rakyat.
Ketetapan itu diputuskan sebulat suara Jawatankuasa Negeri DAP Perak yang turut bersetuju menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dapat dilaksanakan, selain terus memperkukuh agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, DAP Perak berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun lalu selain meningkatkan imej serta kedudukan Malaysia di persada dunia.
“Dengan kekal berada dalam kerajaan, kita dapat terus melaksanakan manifesto Pakatan Harapan, termasuk reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan sistem pendapatan negara serta menjamin hak dan kebebasan masyarakat berbilang kaum.
“Semua dasar ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh penggal pentadbiran ini,” menurut kenyataan itu.
Kata DAP Perak, biarpun kerajaan berdepan pelbagai cabaran, kedudukan parti dalam kerajaan memberi ruang untuk terus mempengaruhi proses membuat keputusan, menggerakkan reformasi dan menunaikan janji kepada rakyat.
Sehubungan itu, parti berkenaan menegaskan seluruh kekuatan perlu digembleng bagi melaksanakan amanah rakyat, di samping terus berpegang kepada aspirasi perjuangan “Malaysia untuk rakyat Malaysia”.
DAP Perak turut berpandangan bahawa penyertaan parti dalam Kerajaan Perpaduan penting bagi mempertahankan politik masyarakat majmuk yang inklusif dan progresif, selain mengimbangi pengaruh kuasa ekstrem.
“Ketika Perikatan Nasional dan PAS terus memainkan isu perkauman dan menunggang agama untuk mencetuskan perpecahan antara masyarakat berbilang kaum serta menggugat keharmonian negara, keberadaan DAP akan memastikan hala tuju politik negara membela perpaduan dan mempertahankan keharmonian tidak digugat,” katanya.
Dalam pada itu, DAP mengingatkan pengalaman ketidakstabilan politik yang menyaksikan empat Perdana Menteri bertukar dalam tempoh tujuh tahun lalu tidak seharusnya berulang, terutama kerana keadaan itu memberi kesan terhadap ekonomi dan keyakinan pelabur.
“DAP sama sekali tidak boleh mengecewakan mandat yang diberikan oleh rakyat. Parti mesti memikul tanggungjawab untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi mengekalkan kestabilan politik, melaksanakan reformasi, membuktikan pencapaian dan meraih semula keyakinan rakyat.
“Inilah jalan yang benar dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Kongres Kebangsaan DAP akan berlangsung Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan seramai 4,264 perwakilan pusat dijadual mengundi bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.





