Jerangkap samar ada di hadapan Kerajaan Perpaduan

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu lalu sangat baik, namun jika diuruskan dengan cara yang salah, akan bertukar menjadi sejumlah jerangkap samar.

Beberapa suara di sebalik kemenangan itu bernada kurang molek seperti ada usaha mengubah skrip dengan plot yang rencam dan berbahaya kepada Kerajaan Perpaduan.

Suara ‘kurang asam’ itu mulai kedengaran selepas Kerajaan Perpaduan menang pada PRK DUN Nenggiri, namun lebih ketara setelah PRN DUN Mahkota berakhir.

Dalam grup media sosial tertentu terutamanya aplikasi WhatsApp, segelintir penyokong parti tertentu mula memperlekeh parti lain yang seblok dalam kerajaan semasa.

Daripada gaya tulisannya, golongan ini mula berasa mereka kuat dan diterima rakyat; seperti tidak sedar bahawa yang mengundi parti mereka bukan hanya ahli parti mereka.

Kejelasan ‘belang’ mereka dapat dilihat melalui kenyataan umum yang tersiar di dada media awam, kemudian disambut oleh penyokongnya yang berkubang di media sosial.

Seorang politikusnya berterusan bercakap soal membela ‘agama dan bangsa’ namun ramai orang tahu sebahagian besar ‘perjuangannya’ tidak pun terkait dengan tema itu.

Dia seperti tidak sedar diri – bercakap seiras ejen Perikatan Nasional (PN), mabuk dan terlena dengan sokongan musuh yang menyamar sebagai ‘rakyat’ di media sosial.

Penyakit itu mula merebak dan hal itu dapat dilihat melalui kenyataan media beberapa pemimpin lain yang separti dengannya yang kelihatan ‘buka kancing baju kepada umum’.

Seolah-olah kini mereka benar-benar sudah kuat, kembali mendapat sokongan rakyat, tidak perlu lagi sokongan pihak lain, boleh bercakap apa-apa sahaja.

Malang betul ada lagi orang sebegini dalam parti itu, sedangkan pemimpin tertingginya sangat berhemah, menyantuni rakan seblok, dan tetap menjaga nilai setia kawan.

Tulisan ini sebenarnya masih lagi menyanjung aspek menghormati ‘rakan’ dalam satu gabungan. Itu sebabnya setiap aksara, frasa, klausa, dan ayat disusun secara berlapik.

Sungguhpun demikian, sedikit kejelasan perlu dipaparkan supaya semua pihak sedar bahawa jika itu tidak diberi peringatan, bahaya besar menanti Kerajaan Perpaduan.

Tidak dinafikan ada pengundi yang dahulunya menyokong PN kini kembali ke pangkal jalan, namun jangan diperlekeh undi parti lain dalam gabungan ini.

Ingatlah bahawa kemenangan Syed Hussein Syed Abdullah dengan majoriti melebihi 20,000 undi itu kemenangan bersama; bukannya kemenangan ‘kamu’ sahaja.

Mandat itu diberi kepada Kerajaan Perpaduan; bukannya kepada BN semata-mata. Demikianlah hakikatnya,

Oleh hal yang demikian, buka jendela akal budi dengan lebih luas. Yang lebih penting, buka mata fikir itu juga agar kamu tidak terpijak jerangkap samar.

Sekiranya kamu terpijak jerangkap samar yang sebenarnya ciptaan kamu, keseluruhan ahli Kerajaan Perpaduan berhadapan bencana dan PN bertepuk tangan ke Putrajaya.

Jerangkap samar itu ada di hadapan kamu sekarang!

Related Posts

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat