
ALOR SETAR – Polis berjaya menyelamatkan dua mangsa culik yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari menerusi serbuan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, semalam.
Operasi kira-kira pukul 8.40 malam itu bagaimanapun bertukar tegang apabila suspek melepaskan tembakan ke arah sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, pasukan serbuan telah membalas tembakan bagi menyelamatkan diri sehingga tiada lagi ancaman keselamatan.
“Dua suspek dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira pukul 9.30 malam dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
“Polis menemui dua pucuk pistol semi auto jenis Baretta mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru serta sebilah parang panjang berhampiran suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, operasi berkenaan berjaya menyelamatkan dua mangsa culik terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia 70-an dan 30-an.
Sehubungan itu, katanya, polis kemudian melancarkan beberapa serbuan berasingan dan berjaya menahan enam individu iaitu seorang lelaki tempatan, empat lelaki serta seorang wanita warga asing dan berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Kesemua tangkapan dibuat di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961,” jelasnya.
Kumar menegaskan, kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Satu sidang media berkaitan insiden ini akan diadakan pada Isnin depan,” tambahnya.




