
LIMBANG – Limbang perlu memperkukuh usaha promosi sektor pelancongan bagi memastikan pelbagai destinasi menarik di kawasan itu lebih dikenali pelancong dari dalam dan luar negara dengan memanfaatkan Projek Lebuh Raya Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Limbang sebenarnya mempunyai banyak lokasi pelancongan yang tidak kurang hebatnya berbanding destinasi lain, namun masih kurang diketahui akibat promosi yang belum diperkasakan sepenuhnya.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur khususnya jaringan jalan raya juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membuka lebih banyak destinasi pelancongan kepada pengunjung.
“Saya percaya di Limbang banyak tempat pelancongan dan tidak kurang hebatnya daripada tempat-tempat di luar, tetapi masalahnya pelancong tidak tahu.
“Jadi aspek promosi perlu kita perkuatkan supaya lebih ramai orang mengetahui apa yang ada di Limbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Lumpur Bebuak 2026, di sini.
Hasbi berkata, siapnya projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) kelak dijangka memberikan impak besar kepada sektor pelancongan Limbang apabila lebih banyak kawasan dapat diakses melalui jalan darat.
Katanya, kemudahan akses yang lebih baik perlu disusuli dengan perancangan pembangunan produk pelancongan serta promosi secara agresif bagi memastikan peluang yang wujud tidak terlepas begitu sahaja.
“Apabila SSLR siap, saya percaya banyak kawasan pelancongan akan dapat diakses melalui jalan darat.
“Jangan apabila jalan sudah siap nanti, kita tidak memanfaatkan akses jalan raya tersebut untuk membangunkan sektor pelancongan.
Itu akan menjadi satu kerugian kepada Limbang,” katanya.
Dalam pada itu, Hasbi berkata, Gunung Buda merupakan antara destinasi yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan utama di Limbang.

Menurutnya, kedudukan Gunung Buda yang berdekatan dengan kawasan Gunung Mulu turut memberikan kelebihan dari sudut potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Misalnya Gunung Buda, saya percaya kawasan ini sama hebatnya dengan Gunung Mulu dan lokasinya pula bersebelahan.
“Jalan menuju ke kawasan berkenaan pada masa ini sedang dalam pembinaan. Apabila siap nanti, kita perlu memastikan kawasan ini benar-benar dimanfaatkan untuk tujuan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan akses fizikal perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkenalkan lebih banyak lokasi menarik di Limbang, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, sektor pelancongan mampu membuka peluang kepada masyarakat setempat melalui penginapan, perkhidmatan pengangkutan, makanan, produk tempatan, kraftangan serta aktiviti ekonomi berkaitan.




