
KUCHING – Sarawak dan Sabah tetap menjadi ‘kingmaker’ dalam politik negara sekali gus menidakkan pandangan kedua-dua negeri ini akan hilang bisa sebagai penentu kerajaan pada peringkat kerajaan Persekutuan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, beliau yakin pengaruh blok Borneo terus kekal relevan dalam menentukan hala tuju politik negara.
“Dari sudut politik, saya tidak melihat kita boleh mengandaikan kedua-dua negeri ini sudah hilang fungsinya pada peringkat kebangsaan.
“Hakikatnya pada hari ini, penglibatan kita dalam kerajaan Perpaduan adalah bersandarkan matlamat utama untuk mewujudkan kestabilan politik,” jelasnya.
Beliau mengulas perkara itu ketika ditemui wartawan selepas menghadiri majlis Perhimpunan Umatik Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Sarawak pada Ahad.
Mengulas lebih lanjut, Abdul Karim turut mempersoalkan kemampuan dan keberanian parti politik di Semenanjung untuk meminggirkan kepemimpinan Borneo, terutama apabila mengambil kira faktor hasil kekayaan sumber asli negara.
“Kita harus beringat di mana terletaknya kekayaan sumber asli Malaysia.
“Mampukah parti di Semenanjung Malaysia mengambil risiko besar untuk tidak mahu bekerjasama dengan Sarawak dan Sabah? Adakah mereka berani berbuat demikian?” tegasnya.
Terdahulu, Larry yang juga Ahli Parlimen Julau meramalkan gandingan politik BN-PN mampu mencipta kemenangan bersih pada Pilihan Raya Negeri di Semenanjung, seterusnya membentuk majoriti mudah selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Ahli Parlimen itu mendakwa, bersandarkan 104 kerusi Parlimen yang dimenangi BN dan PN pada 2022, mereka sekadar memerlukan lapan kerusi tambahan bagi mencukupkan angka 112 untuk membentuk kerajaan pusat.
Jelasnya lagi, situasi tersebut secara langsung akan menyebabkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi mampu menjadi ‘kingmaker’ dalam arena politik negara.
Menempelak andaian terbabit, Abdul Karim menyifatkan kenyataan Larry itu agak cetek kerana ia seolah-olah menafikan kelebihan dan kedudukan strategik yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak.
Menyentuh isu berasingan, desas-desus berhubung penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada tahun ini disifatkan beliau sebagai ‘rahsia terbuka’ susulan PRN terakhir dilangsungkan pada Disember 2021.
Tambah beliau, tindakan membiarkan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir dengan sendirinya disifatkan sangat berisiko.
“Pendekatan itu akan merumitkan keadaan. Oleh itu, kita perlu mengadakan pilihan raya negeri dengan segera,” ujarnya lagi.
Foto: Facebook YB Karim





