
TAWAU – Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta iaitu pembinaan Empangan Air yang membekal air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 itu menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, apabila siap sebelum hujung tahun hadapan, ia akan menjadi penyelesaian kepada isu bekalan air yang dihadapi penduduk Tawau.
“Daripada taklimat yang saya dengar, nampak progres itu baik mengikut jadual walaupun ada permohonan untuk kelanjutan.
“Yang penting, empangan ini dijangka siap sebelum hujung tahun 2027.
“Ini satu perkembangan yang cukup baik dan dapatlah kita selesaikan masalah air kita di Tawau,” katanya kepada media selepas lawatannya ke tapak projek berkenaan, pada Ahad.

Menurut Hajiji, isu bekalan air tidak hanya berlaku di Tawau, tetapi turut berlaku di daerah lain negeri ini.
“Kita warisi masalah ini, bukan ia datang pada zaman kerajaan hari ini.
“Namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita lakukan yang terbaik dengan menyediakan peruntukan untuk menyelesaikannya demi kemudahan rakyat,” ujarnya.
Jelas Hajiji, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek itu melalui laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah serta Jabatan Pengairan dan Saliran bagi memastikan projek kekal mengikut perancangan.
“Saya juga ada bertanya mengenai prestasi kontraktor dan berdasarkan maklum balas daripada pihak konsultan serta pegawai jabatan air, pelaksanaannya adalah memuaskan. Kita berpuas hati,” jelasnya.

Berdasarkan taklimat JANS, pembinaan Empangan Air Tawau sudah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 74.04 peratus setakat 25 Julai lalu, berbanding jadual asal 73.89 peratus.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan empangan dengan kapasiti takungan air mentah sebanyak 30 juta meter padu (MCM) serta pemasangan paip air mentah bersaiz 700 milimeter (mm) sepanjang 11.6 kilometer.
Mengenai kemajuan pembinaan LRA Cinta Mata 2, projek itu kini mencapai kemajuan fizikal 16.08 peratus dan dijangka siap pada 22 Julai 2028.
Ia berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH), pembinaan tangki simpanan air berkapasiti 20 JLH dan 10 JLH serta pemasangan paip air terawat sepanjang 12 kilometer bersaiz antara 150 milimeter hingga 800 milimeter.
Projek itu dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitarnya.




