
LENGGENG – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali menyifatkan UMNO sebagai ‘kanser’ dalam politik Melayu dan menggesa rakyat meninggalkan parti itu.
Menurutnya, pelbagai isu yang dikaitkan dengan UMNO, termasuk melibatkan institusi seperti Tabung Haji (TH), FELDA dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), membuktikan sudah tiba masanya rakyat beralih kepada parti lain.
“UMNO ini ibarat kanser. Walaupun dirawat, ia tetap kekal dalam tubuh.
“Sudah sampai masanya rakyat melupakan UMNO dan bergerak ke hadapan. Masih banyak parti dan pemimpin lain yang boleh memimpin negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, pada semalam.
Ibrahim turut menolak tanggapan bahawa UMNO adalah parti yang tidak boleh digantikan.
“Jangan fikir UMNO ini ‘indispensable’. Dia ini parti keramat. Ada lagi parti-parti lain, ada lagi pemimpin-pemimpin yang boleh dipertaruhkan untuk memimpin negara,” katanya.
Beliau juga menyindir segelintir pemimpin yang sebelum ini lantang bercakap mengenai Islam dan menentang kemungkaran, namun akhirnya memilih untuk bekerjasama dengan UMNO.
“Kita lihat ada yang bercakap soal Islam, bercakap soal menentang kebatilan, tetapi akhirnya ‘bercium dan berpeluk’ dengan UMNO juga,” katanya.







