
KOTA KINABALU – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa menerusi penganjuran Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 yang dijadual berlangsung di Dongdaemun Design Plaza (DDP), Seoul, Korea Selatan pada 7 hingga 8 November 2026, sekali gus menjadi platform strategik memperkenalkan keunikan negara kepada pasaran Korea Selatan.
Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn Bhd, Fazura Azima Ag Sha berkata, MFIS 2026 dijangka menjadi medan penting bagi mempromosikan budaya, perdagangan, pelancongan serta sektor pendidikan Malaysia kepada masyarakat Korea Selatan, di samping membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Penganjuran acara itu turut mendapat pengiktirafan serta sokongan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan melalui diplomasi budaya, ekonomi dan pendidikan.
“Antara objektif utama MFIS 2026 ialah meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, memperluaskan pasaran produk dan jenama tempatan di Korea Selatan serta mengukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama dalam sektor perdagangan, pendidikan dan industri kreatif,” ujarnya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.

Menurut Fazura Azima, acara itu bakal mengetengahkan pelbagai elemen warisan masyarakat majmuk Malaysia termasuk persembahan kebudayaan, kraftangan, makanan tradisional, produk tempatan serta pelbagai inisiatif yang mencerminkan identiti negara.
“Korea Selatan merupakan salah satu pasaran pelancongan antarabangsa terbesar dan paling pesat berkembang bagi Malaysia.
“Pemilihan Seoul pula kerana bandar raya metropolitan ini merupakan pusat ekonomi dan ibu pejabat bagi konglomerat global terbesar Korea Selatan sekali gus menjadikannya lokasi paling strategik untuk memeterai kerjasama perniagaan (B2B) pelbagai sektor.
“Selain itu, kemudahan pelbagai rangkaian penerbangan terus juga mampu memperkukuhkan lagi laluan ke hab utama Malaysia seperti penerbangan terus ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Justeru kita sangat mengalu-alukan penyertaan pemain industri daripada pelbagai sektor, termasuk pelancongan, pendidikan, teknologi, produk pertanian, makanan dan minuman, kesihatan, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri kreatif untuk memanfaatkan platform ini bagi mempromosikan produk, perkhidmatan dan destinasi tempatan kepada rakyat Korea Selatan,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Fazura berkata, MFIS 2026 turut dijangka menjadi platform bagi memperkenalkan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang menawarkan pendidikan berkualiti tinggi pada kos yang kompetitif.
“Malaysia kini memiliki lebih 20 universiti awam serta puluhan institusi pengajian tinggi swasta bertaraf antarabangsa yang berpotensi menarik lebih ramai pelajar dari Korea Selatan dan negara lain.
“Faktor kos sara hidup yang berpatutan, masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni serta persekitaran yang selamat dan kondusif menjadikan Malaysia antara destinasi pendidikan yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya,selain aspek perdagangan dan pendidikan, MFIS 2026 juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan negara selaras dengan sasaran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi penekanan kepada peningkatan jumlah ketibaan pelancong asing serta pengukuhan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di Asia.
“Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung dijangka disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan muzik dan kebudayaan secara langsung, pameran serta gerai jualan, pengalaman menikmati makanan Malaysia, promosi destinasi pelancongan, selain sesi perkongsian mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan negara.
“Penganjuran MFIS 2026 diharap bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Korea Selatan terhadap keunikan budaya dan produk Malaysia, malah membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara pemain industri kedua-dua negara, sekali gus menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh diplomasi ekonomi dan memperluaskan pengaruh Malaysia di pasaran antarabangsa,” katanya lagi.







