JELEBU – Pemberian insentif RM1,000 kepada penggali kubur merupakan bukti keprihatinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin terhadap petugas pengurusan jenazah yang tidak boleh disanggah oleh mana-mana pihak .
Penggali kubur dari Pertang, Sulaiman Ahmad Tajuddin, 52, berkata, selama ini dia tidak pernah menerima insentif sebegitu meskipun sudah melakukan pekerjaan berkenaan lebih 15 tahun.
Menurutnya, bantuan tersebut amat bermakna kerana membantu menampung keperluan harian terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tok Min (Aminuddin) kerana memahami situasi kami sebagai penggali kubur. Banyak sangat membantu saya dari segi keperluan harian.
“Di bawah Tok Min inilah penggali kubur dihargai oleh kerajaan negeri, kalau zaman kerajaan sebelum itu, memang langsung tiada sebarang mahupun apa apa bantuan terhadap golongan seperti kami,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Beliau yang menyifatkan insiatif itu sebagai peristiwa sejarah menegaskan, pihaknya tidak akan termakan dengan dakyah atau dakwaan palsu terhadap Aminuddin yang sememangnya merupakan pemimpin yang memahami keluhan rakyat di peringkat akar umbi.
“Ada dengar masa PRN ini bantuan itu akan dihentikan oleh Tok Min, nampak benar pihak itu nak membongak sahaja. Boleh fikir logik Tok Min yang buat bantuan itu takkan dia nak tarik.
“Melainkan jika Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan negeri, yang itu saya percaya bahawa kemungkinan bantuan atau insiatif untuk kami akan dihentikan. Yelah, kami ini hanyalah penggali kubur,” katanya.
Sementara itu, Azam Ahmad, 59, yang bertugas sebagai penggali kubur di Kuala Klawang berkata, selama ini dia tidak pernah menerima insentif sebegitu meskipun sudah melakukan pekerjaan berkenaan sejak lebih 15 tahun lalu.
“Selama ini kami sebagai penggali kubur terasa seperti diabaikan dan hanya dipanggil apabila ada keperluan.

“Insentif yang diberikan kerajaan negeri ini sangat bermakna buat saya dan rakan lain yang sama-sama memberikan perkhidmatan sebagai penggali kubur.
“Saya ucapkan syukur dan terima kasih kepada Menteri Besar yang sangat prihatin terhadap kami sebagai penggali kubur,” katanya.
Usaha tersebut mempamerkan tanda kasih sayang dan penghargaan Aminuddin kepada penggali kubur yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira waktu.






