JELEBU – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mendakwa menjadi sasaran pelbagai fitnah sepanjang tempoh berkempen termasuk dakwaan beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, pelbagai dakwaan tidak berasas disebarkan di kampung-kampung bagi menakutkan pengundi Melayu, termasuk kononnya orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya PH menang pada 1 Ogos.
Anthony yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah berkata, antara fitnah lain yang dimainkan ialah dituduh cuba mengganggu sistem adat dan institusi diraja di negeri itu.
“Beberapa minggu ini memang saya menjadi sasaran pelbagai tomahan dan fitnah.
“Dalam kampung-kampung disebarkan secara meluas. Saya juga dituduh mengganggu sistem adat dan cuba menggugat institusi diraja.
“Macam-macam tomahan dan fitnah dilemparkan terhadap saya, namun kita tetap bersabar,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Simpang Durian, Jelebu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan siapa calon menteri besar PH sekiranya Aminuddin Harun tewas di Linggi, yang disifatkannya kubu kuat Barisan Nasional (BN).



