
KUANTAN – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 merekodkan kehadiran 212,374 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM2.33 juta sekali gus mengatasi pencapaian penganjuran sulung di Temerloh tahun lalu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, bilangan pengunjung yang direkodkan itu jauh melepasi sasaran awal 100,000 orang.
“Nilai jualan juga melepasi sasaran RM1.3 juta, manakala penyertaan usahawan meningkat kepada 220 berbanding jangkaan awal hanya 100 usahawan.
“Pencapaian ini membuktikan sektor pertanian dan agromakanan terus mendapat sambutan serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai salah satu penggerak utama ekonomi negeri,” katanya melalui kenyataan.
Penganjuran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, Dewan Jubli Perak dan Taman Tasik Raub menerima sambutan luar biasa sejak hari pertama dibuka sehingga melabuhkan tirai semalam.
Pameran itu bukan sekadar medan mempamerkan produk pertanian, sebaliknya menjadi platform strategik kerajaan negeri memperkukuh agenda keterjaminan makanan, membangunkan usahawan tani serta merancakkan industri asas makanan.
MAHA Pahang 2026 menghimpunkan sebanyak 220 gerai pameran melibatkan kira-kira 500 produk daripada agensi kerajaan, usahawan dan pemain industri sepanjang program berlangsung.
Mohd Soffi merakam penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor pertanian di negeri ini.



