
SKUAD Harimau Malaya membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan selepas menumbangkan Myanmar 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Thuwunna, malam tadi.
Kebangkitan pada babak kedua jelas menyelamatkan anak buah Tan Cheng Hoe selepas mereka jelas ‘hilang arah’ untuk menangani corak permainan Myanmar pada 45 minit pertama.
Pada aksi terbabit, Malaysia bermula garang apabila menguji gawang tuan rumah seawal minit ketiga menerusi tandukan Mohamadou Sumareh yang diselamatkan Zin Nyi Nyi Aung.
Nyi Aung sekali lagi diuji seminit berselang, kali ini menerusi rembatan Syafiq Ahmad namun penjaga gol Myanmar itu cemerlang memastikan gawangnya tidak bolos.
Bagaimanapun, Myanmar yang berada di ranking ke-158 mengejutkan Malaysia apabila mendahului pada minit ke-10 selepas serangan balas pantas disudahkan dengan penyudah kemas Myat Kaung Khant menewaskan penjaga gol negara, Azri Ghani.
Peluang Malaysia mengikat kedudukan hadir pada minit ke-28 namun percubaan Paulo Josue terkena palang sebelum gawang negara terselamat apabila percubaan Myanmar juga terkena palang pada minit ke-44.
Dua gol pantas dalam tempoh lima minit selepas rehat menyaksikan Malaysia kembali dalam kawalan apabila skuad negara memimpin perlawanan buat kali pertama.
Berpunca daripada sepakan sudut, tandukan Sumareh disambut tampanan jarak dekat Paulo Josue untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-52.
Terjahan pemain Myanmar ke atas Sumareh menyaksikan skuad negara diberikan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Josue pada minit ke-57.







