
SEPANGGAR – Satu usaha untuk mendokumentasikan resipi tradisional masyarakat di Sepanggar menerusi penerbitan Dapur Sepanggar sedang dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, inisiatif itu akan menghimpunkan resipi tradisional masyarakat pelbagai etnik di kawasan Parlimen Sepanggar yang mempunyai pelbagai bangsa seperti Dusun, Bajau, Bugis dan lain-lain. Ianya sebagai rujukan serta tatapan generasi akan datang.
“Beberapa resipi tradisional daripada masyarakat Dusun telah berjaya dikumpulkan, diikuti resipi masyarakat Bajau dan Bugis.
“Kita akan kumpulkan semua resipi ini dalam Dapur Sepanggar supaya anak-anak kita tahu makanan tradisional yang ada di kawasan ini,” katanya.
Beliau bwekata demikian semasa berucap pada Program Kursus Aneka Popiah Sejuk Beku anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tebobon Menggatal dengan kerjasama Koperasi Niaga Berhad Kampung Tebobon, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, program latihan seperti penyediaan popia sejuk beku mampu membuka peluang kepada masyarakat, khususnya suri rumah untuk menjana pendapatan dari rumah.
Jelasnya,peserta bukan sahaja mempelajari kaedah penyediaan makanan, malah boleh memasarkan produk menerusi platform digital seperti TikTok dan media sosial bagi mengembangkan perniagaan.
“Saya menggalakkan penduduk Sepanggar memanfaatkan kemudahan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), termasuk mengikuti latihan pemasaran digital bagi membantu memasarkan produk dan mengembangkan perniagaan.
“NADI juga menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, selain pelbagai kemudahan lain untuk kegunaan komuniti setempat,” ujarnya.





