
KUANTAN – Masjid Tepian Putra dekat sini menganjurkan program Jalinan Ukhwah Bubur Asyura di perkarangan masjid itu, hari ini.
Sebanyak empat kawah bubur asyura disiapkan dan dimasak secara bergotong-royong sejak jam 9 pagi.
Program Jalinan Ukhwah itu mendapat kerjasama Rakan Prihatin (Kluster Pasca Sosial) dan disertai kira-kira 200 sukarelawan Rakan Muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, proses penyediaan bagi memasak bubur asyura itu dilakukan menerusi sumbangan orang ramai dan kariah masjid berkenaan.
“Kita sediakan dua kawah bubur asyura versi Utara dan dua lagi kawah bubur asyura resepi Pantai Timur pada program kali ini.
“Bubur asyura yang siap dimasak ini kita agihkan kepada gelandangan, ahli kariah, jemaah yang singgah menunaikan solat di Masjid Tepian Putra,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penyertaan daripada sukarelawan, yang kebanyakannya remaja, bersempena program itu.
Katanya, program berkenaan adalah antara pengisian Masjid Tepian Putra bersempena sambutan Maal Hijrah dan kuliah mingguan ‘Jelajah Qurani Negeri Dirahmati’ yang diadakan setiap hari Rabu di masjid berkenaan.





