
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah terus memperkukuh usaha mempercepatkan pengeluaran geran tanah kepada rakyat apabila Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) merekodkan kejayaan mengukur 25,591 lot tanah melibatkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh negeri sejak Januari 2020 hingga Jun 2026.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM83 juta melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Kerajaan Persekutuan turut meluluskan RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan RM1 juta telah disalurkan pada tahun ini kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Sebanyak 53 pasukan Juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh daerah.
“Di daerah Kota Belud, sebanyak empat pasukan Juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan pengukuran Program PANTAS. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 5,347 lot yang melibatkan keluasan 2,998.590 hektar telah berjaya diukur,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, di sini pada Selasa.
Menurut Isnin, sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di pejabat tanah daerah di seluruh Sabah sehingga 30 Jun 2026.
“Kerajaan turut memperkukuh pemantauan permohonan tanah, memperluaskan penggunaan sistem pendigitalan serta penggunaan peralatan ukur moden bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan dan pengeluaran geran.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur juga mengambil langkah untuk mengisi sebanyak 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5. Jawatan-jawatan tersebut kini sedang dalam proses pengiklanan bagi tujuan lantikan baharu.
“Pengisian jawatan ini dijangka dapat menambah kapasiti tenaga teknikal jabatan, khususnya dalam mempercepatkan kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah,” ujarnya.
Kerajaan Sabah kekal komited untuk mempercepatkan penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran Anak Negeri kepada rakyat yang layak secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.






