
KOTA KINABALU – Penubuhan Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) menjadi platform penting untuk menyatukan persatuan seni kreatif sebagai pemegang taruh industri, selain membantu Kerajaan Negeri merangka dan memperkukuh dasar pembangunan industri kreatif Sabah.
Pengerusinya, Chester Pang Thien Fook berkata, penubuhan gabungan itu sudah lama diimpikan bagi menghimpunkan persatuan yang mewakili pelbagai cabang industri kreatif di negeri ini.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya sebuah gabungan yang menghimpunkan persatuan-persatuan seni kreatif di Sabah berjaya diwujudkan.
“Sejak sekian lama, kita mengimpikan sebuah platform yang dapat menyatukan semua persatuan seni kreatif sebagai pemegang taruh industri,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
KREATIF SABAH menerima kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 April lalu dan kini dianggotai lapan persatuan yang mewakili sektor filem, muzik, seni persembahan serta seni visual.
Chester dipilih menerajui KREATIF SABAH bagi penggal 2026–2028 dalam Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan itu di sebuah hotel di Inanam, dekat sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) berkata, fokus utama gabungan itu adalah memperkukuh struktur organisasi, menyusun pelan tindakan serta memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan kerajaan dan agensi berkaitan.
“KREATIF SABAH merancang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah pada awal Ogos ini, sebelum meneruskan pertemuan dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
“Pertemuan itu bertujuan membentangkan perkembangan industri kreatif Sabah serta mengemukakan cadangan kerjasama bagi merancakkan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga di negeri ini,” jelasnya.
Sementara itu, Penasihat Kehormat pertama KREATIF SABAH, Datuk Roger Chin menasihatkan para pengkarya supaya meneliti setiap kontrak sebelum menandatanganinya bagi memastikan hak dan kepentingan mereka sebagai pemilik karya terus dilindungi.
Turut dipilih ialah Guadik Ansiw sebagai Timbalan Pengerusi, Mohd Nazri Saidali sebagai Setiausaha dan Raimon Sukudat sebagai Bendahari.
Ahli Exco pula terdiri daripada Abdul Mazrun Munap, Chester D. Sinidol dan Ramli Ahmad.





