
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh merakamkan penghargaan kepada petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertungkus-lumus membersihkan Dataran Merdeka selepas kawasan itu dipenuhi sampah susulan tayangan akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah soal kebersihan dan menggalas tanggungjawab sebagai pengguna ruang awam dengan membuang sampah ke tempat yang disediakan..
“Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan cemerlang.
“Namun, membuang sampah ke dalam tong adalah tanggungjawab asas yang sepatutnya dilakukan oleh setiap individu. Hak menerima perkhidmatan tidak bermaksud kita boleh meninggalkan segala-galanya kepada petugas awam untuk membersihkan sampah yang kita tinggalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya merupakan simbol sejarah dan maruah ibu negara yang perlu dihormati serta dipelihara bersama.
Hannah turut menegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI bukan hanya menuntut kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, malah mengajak masyarakat memainkan peranan dalam memelihara kemudahan awam dan kebersihan persekitaran.
Beliau turut mengulangi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui sikap dan nilai masyarakat dalam menghargai serta menjaga harta awam.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita bersama. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya.
Pagi tadi, DBKL memaparkan beberapa keping gambar mengenai padang dataran yang dipenuhi sampah daripada penonton perlawanan akhir Piala Dunia 2026.





