
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa pemegang lesen yang layak mengemukakan draf pelan pelaksanaan bagi Inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
MCMC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, inisiatif di bawah rangka kerja Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) itu akan membangunkan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan daya tahan, kebolehpercayaan serta kesiapsiagaan rangkaian komunikasi negara.
Menurut kenyataan itu, projek SALAM akan mewujudkan rangkaian sambungan domestik yang lebih kukuh dan pelbagai dari segi laluan, sekali gus meningkatkan kapasiti rangkaian serta mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan.
“Kabel dasar laut merupakan tulang belakang kepada sistem komunikasi digital moden kerana membawa sebahagian besar trafik data domestik dan antarabangsa.
“Dengan permintaan terhadap sambungan digital berkelajuan tinggi yang terus meningkat, pengukuhan infrastruktur kritikal ini amat penting bagi memastikan komunikasi yang selamat, stabil dan berterusan untuk kerajaan, sektor perniagaan serta rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sistem SALAM merangkumi pembinaan 10 Stesen Pendaratan Kabel (Cable Landing Station – CLS) yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran keseluruhan laluan sepanjang 5,582 kilometer.
MCMC berkata, rangkaian baharu itu akan menyediakan laluan sambungan yang lebih pelbagai bagi meningkatkan tahap redundansi rangkaian, sekali gus memperkukuh ketahanan sistem komunikasi negara sekiranya berlaku gangguan pada laluan sedia ada.
Projek itu dijangka menyokong pengembangan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G, pembangunan pusat data, infrastruktur pengkomputeran awan, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta industri digital baharu.
“Inisiatif ini akan terus memperkukuh ekonomi digital negara, memperluaskan keterangkuman digital serta meningkatkan daya tahan Malaysia dalam jangka panjang,” menurut kenyataan itu lagi.


