SEREMBAN – Keputusan Barisan Nasional (BN) yang hanya meletakkan calon di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyatakan terdapat persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) memang sudah dijangka susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Justeru, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri bagi memenangi kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disebalik terdapat kerjasama yang dibentuk lawan iaitu BN dan PN.
“Ini sudah dijangka (kerjasama BN-PN), memang ini sudah jelas susulan PRN Johor, ini pilihan mereka. PH akan fokus kekuatan untuk memenangi kerusi ditandingi, yang penting kekuatan dan kesepakatan PH sendiri untuk menghadapi pilihan raya akan datang serta apa sahaja cabaran dan persaingan.
“(PRN N9) Ini adalah pilihan rakyat, rakyat menilai keberkesanan PH di peringkat negeri dan kepemimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memimpin sejak 2018.
“Siapa-siapa yang masuk (bertanding) termasuk parti mana sekalipun, kita perlu fokus pada rakyat. Pentingnya pengundi, bukan parti yang menentukan keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani, Santuni Madani dan Sekolah Angkat Madani Kementerian Pengangkutan di Balai Raya Kampung Mantin Dalam, Mantin, di sini hari ini.
Semalam, BN mengumumkan akan bertanding di 25 daripada 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan.
Terdapat sebanyak 11 kerusi yang tidak ditandingi oleh BN iaitu, Klawang, Serting, Lobak, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang dan Gemas yang dijangka akan ditandingi oleh parti komponen dalam PN.
Disoal potensi undi masyarakat Cina boleh beralih kepada MCA, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada pengundi.
“Bagi saya tidak perlu ulas banyak, pengundi yang akan buat keputusan. Sebelum PRN, kalau semua pihak hendak cakap dapat sokongan (pengundi Cina), yang penting keputusan pilihan raya akan menentukan segalanya.
“Terpulang kepada pengundi untuk menilai, kita akan berkempen untuk meyakinkan pengundi dan memenangkan hati pengundi,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan mengumumkan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembangunan Kampung Baru Mantin menerusi program Kampung Angkat Madani.
Daripada jumlah tersebut, katanya, RM500,000 disalurkan kepada Majlis Bandaraya Seremban sebagai agensi pelaksana untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang telah dikenal pasti melalui sesi libat urus bersama penduduk.
“Baki RM100,000 pula diperuntukkan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong bagi melaksanakan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ia bagi meningkatkan kemahiran, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat setempat. Dalam aspek pendidikan pula, melalui Program Sekolah Angkat Madani, pihak kementerian memperuntukkan RM100,000 kepada SJK(C) Chung Hua Mantin.
“Peruntukan ini akan dimanfaatkan bagi pembelian Smart Board untuk memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif serta berteraskan teknologi. Ia turut digunakan bagi melaksanakan program pembangunan profesional guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP),” katanya.






