REKOD pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilihat mampu menjadi antara faktor penting yang membantu Pakatan Harapan (PH) mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali berkata, meskipun Barisan Nasional (BN) dijangka cuba mengulangi formula kemenangan yang digunakan pada PRN Johor, landskap politik Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri yang memberi kelebihan kepada PH.
Beliau berkata, kemenangan besar BN di Johor sebelum ini sebahagiannya dipengaruhi pemindahan sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam kalangan penyokong Pas yang kecewa dengan perpecahan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Di Johor, terdapat kerusi yang tidak ditandingi PN dan keadaan itu menyebabkan sebahagian penyokong mereka beralih memberikan sokongan kepada BN.
“Jika formula yang sama digunakan di Negeri Sembilan, sudah tentu ia boleh memberi kelebihan kepada BN. Namun, Negeri Sembilan mempunyai corak pengundian yang berbeza berbanding Johor,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mazlan berkata, PH masih mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan Negeri Sembilan kerana pengaruh gabungan itu kekal kuat di kawasan bandar seperti Seremban dan Nilai yang mengalami urbanisasi pesat serta mempunyai komposisi pengundi yang lebih cenderung menilai prestasi pentadbiran.
Katanya, pengundi di kawasan bandar lazimnya memberi perhatian kepada rekod pencapaian kerajaan negeri dan bukan semata-mata dipengaruhi sentimen politik.
“Separuh daripada Negeri Sembilan terdiri daripada kawasan bandar yang selama ini menjadi kubu PH. Pengundi di kawasan ini lebih menilai prestasi dan pencapaian kerajaan sebelum membuat keputusan.
“Di bawah pentadbiran Aminuddin, Negeri Sembilan menunjukkan prestasi yang baik. Dari segi pengurusan kewangan, kerajaan negeri berjaya memperbaiki kedudukan fiskal dan mengurangkan beban hutang. Rekod pentadbiran itu memberi nilai tambah kepada PH dalam menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun BN mempunyai kekuatan di kawasan kampung, tanah rancangan FELDA dan kawasan luar bandar yang majoritinya dipengaruhi sentimen kaum dan agama, faktor prestasi pentadbiran tetap menjadi pertimbangan penting bagi sebahagian besar pengundi Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kejayaan Aminuddin mentadbir negeri akan menjadi antara aspek yang dinilai oleh rakyat ketika membuat pilihan pada PRN akan datang.
“Politik bukan hanya berkaitan statistik atau prestasi semata-mata kerana sentimen juga memainkan peranan. Kita melihat perkara itu berlaku di Johor apabila sentimen berjaya mempengaruhi corak pengundian di banyak kawasan majoriti Melayu.
“Bagaimanapun, di Negeri Sembilan terdapat kelompok pengundi bandar yang besar dan mereka cenderung menilai rekod pentadbiran. Dalam konteks itu, pencapaian Aminuddin akan diberi markah oleh pengundi,” katanya.
Mazlan berkata, PH bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah cabaran di kawasan luar bandar dan perlu mempergiat usaha penerangan mengenai dasar serta pencapaian kerajaan.
Jelasnya, penyampaian maklumat yang lebih berkesan diperlukan bagi memastikan pengundi memahami manfaat dasar kerajaan dan pencapaian yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran.
“Perubahan persepsi di kawasan luar bandar memerlukan masa. Namun, berdasarkan landskap politik semasa dan rekod pentadbiran kerajaan negeri, PH masih mempunyai peluang yang baik untuk mempertahankan Negeri Sembilan pada PRN kali ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan, manakala hari penamaan calon pada 19 Julai dan tempoh berkempen selama 12 hari bermula sebaik selesai proses penamaan calon hingga 11.59 malam, 31 Julai.




