JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini berada pada fasa akhir persiapan bagi menghadapi hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok, dengan semua pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi di seluruh negeri giat membuat persediaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semakan terhadap peti undi serta kelengkapan pilihan raya bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai dilaksanakan bagi memastikan proses pengundian dapat berlangsung tanpa sebarang masalah.
Katanya, persiapan menyeluruh itu penting bagi memastikan urusan pengundian berjalan lancar sekali gus membolehkan kira-kira 2.7 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka dengan selesa.
“Setakat ini, saya difahamkan hampir semua Pegawai Pengurus (RO) telah melaksanakan tugas di 56 pusat di seluruh negeri Johor. Alhamdulillah, proses berjalan dengan amat lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serba Guna Permas, Kukup, hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengundi supaya hadir mengikut waktu yang disarankan bagi mengelakkan kesesakan selain memastikan kad pengenalan dibawa ketika hadir ke pusat mengundi.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, petugas SPR dilihat sibuk melakukan pelbagai persiapan termasuk melabel saluran mengundi, menyusun peralatan serta memasang papan tanda bagi melancarkan urusan pengundian.
Penyelia pusat mengundi DUN Puteri Wangsa, Mohd Rasib Ngadiman berkata, sebanyak 12 bilik darjah disediakan sebagai saluran mengundi dengan dibantu 74 petugas SPR serta 12 anggota polis.
“SPR pada masa sama turut menyediakan kemudahan kerusi roda untuk warga emas dan pengundi Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Di Kluang, persiapan di SK Kampong Melayu turut memasuki peringkat akhir dengan lima saluran mengundi disediakan bagi menampung kira-kira 3,000 pengundi di DUN Mahkota.
Di Batu Pahat pula, persiapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng memberi penekanan terhadap keselesaan pengundi, khususnya warga emas, golongan muda dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, operasi penghantaran peti undi ke Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi bagi DUN Tenggaroh di Mersing dilaksanakan mengikut perancangan dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tenggaroh, Jamil Hasni Abdullah berkata, operasi itu membabitkan kira-kira 50 petugas dengan bantuan Pasukan Polis Marin dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing bagi memastikan semua aset pilihan raya tiba dengan selamat.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 33 calon, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) empat calon, manakala Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon, selain enam calon Bebas.



