KEUPAYAAN Pakatan Harapan (PH) memulihkan imej Malaysia yang kini kembali dihormati dan diyakini di persada antarabangsa merupakan bukti keupayaan gabungan itu mentadbir Kerajaan MADANI yang terdiri daripada pelbagai gabungan komponen parti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai reformasi penting, meningkatkan pelaburan, menaikkan gaji, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang bermaruah serta menyelesaikan pelbagai masalah dan projek yang sekian lama tertangguh berjaya dilakasanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, dengan penuh rendah hati dan hormat, saya memohon saudara dan saudari memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua.
“Pilihan raya ini adalah peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Jumaat.
Anwar yang juga Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Johor termasuk anak negeri yang berada di perantauan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi bagi menentukan hala tuju negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau menyifatkan hari pengundian sebagai ‘hari keramat’ yang bakal menentukan babak seterusnya dalam masa depan Johor, sambil menggesa pengundi memilih kepimpinan yang bekerja untuk kepentingan rakyat.
“Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor. Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini.
“Semoga Allah SWT memberkati Johor dan mengurniakan negeri ini kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Sepanjang tempoh kempen, Anwar yang juga Presiden PKR turun ke beberapa kawasan di Johor bagi membantu calon PH selain menyampaikan mesej supaya pengundi memberikan mandat kepada gabungan itu untuk memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan sengit membabitkan Barisan Nasional (BN), PH, Perikatan Nasional (PN) serta beberapa parti lain bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

