BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar mengecam perbuatan khianat atau politik kotor sesetengah pihak terhadapnya pada Khamis.
Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Pahat berkata, tindakan itu melibatkan papan iklan miliknya telah dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan Jambatan Baharu Sungai Buloh.
Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat dalam Facebook miliknya kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu
.
“Berdasarkan pemerhatian di lokasi, terdapat beberapa bahagian papan iklan yang berlubang dan koyak. Menurut maklumat yang diterima, papan iklan tersebut dilaporkan masih berada dalam keadaan baik pada malam sebelumnya.
“Perbuatan seperti ini, jika benar dilakukan dengan sengaja, adalah tidak bertanggungjawab dan mencemarkan semangat demokrasi serta kempen pilihan raya yang matang,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Onn berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui tindakan merosakkan harta benda.

“Semua pihak diseru supaya menghormati proses demokrasi, mematuhi undang-undang dan membiarkan rakyat membuat pilihan mereka secara aman pada hari pengundian
“Sekiranya terdapat unsur jenayah, perkara ini diharapkan dapat disiasat oleh pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang. Biar rakyat memilih melalui peti undi bukan melalui perbuatan vandalisme,” katanya.
Sebelum ini beberapa bahan kempen PH antaranya di Kulai dan Pontian turut dikesan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.



