CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v62), quality = 82?
JOHOR BAHRU – Kenyataan Nazifuddin Najib, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengaitkan kemenangan besar UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan hasrat rakyat supaya bapanya dibebaskan dilihat boleh memberi tekanan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, kenyataan berkenaan berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap UMNO kerana seolah-olah mengaitkan keputusan rakyat dalam pilihan raya dengan proses permohonan pengampunan, sedangkan kedua-duanya adalah perkara berbeza.
Katanya, tindakan beberapa pemimpin UMNO tampil menjelaskan kedudukan parti dalam isu berkenaan dilihat sebagai langkah untuk memperbetulkan persepsi serta mengelakkan isu itu terus memberi kesan kepada sokongan pengundi.
“Datuk Seri Najib Razak ialah seorang warganegara Malaysia dan beliau mempunyai hak untuk memohon pengampunan. Namun, proses itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Ia bukan sesuatu yang ditentukan oleh rakyat melalui pilihan raya atau keputusan sesebuah parti politik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Menurutnya, kenyataan yang mengaitkan kemenangan UMNO dengan kehendak rakyat supaya Najib dibebaskan boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi, khususnya mereka yang lebih menilai isu daripada sudut institusi undang-undang dan tadbir urus.
“Golongan Melayu kelas pertengahan, masyarakat berpendidikan, termasuk pengundi bandar daripada pelbagai kaum lazimnya melihat isu seperti ini berdasarkan prinsip dan proses yang jelas.
“Jika persepsi yang timbul ialah UMNO mempunyai pengaruh dalam perkara berkenaan, ia boleh memberi cabaran kepada parti,” katanya.
Beliau berkata, penegasan pimpinan UMNO bahawa parti tidak mempunyai kuasa dalam proses permohonan pengampunan adalah penting bagi memisahkan parti daripada isu tersebut.
“UMNO perlu menjelaskan bahawa proses pengampunan bukan urusan parti. Ia melibatkan mekanisme tertentu dan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa.
“Penjelasan itu adalah usaha mengurangkan kesan persepsi negatif yang mungkin timbul terhadap UMNO,” katanya.
Mengulas peluang BN pada PRN Johor, beliau berkata, faktor kadar keluar mengundi akan menjadi penentu penting, terutama membabitkan pengundi luar yang sering membuat keputusan berdasarkan isu semasa, prestasi kerajaan dan keadaan ekonomi.
Katanya, jika peratusan keluar mengundi meningkat, persaingan di beberapa kerusi marginal dijangka menjadi lebih sengit kerana kelompok pengundi yang lebih kritikal akan turut mengambil bahagian.
“Pengundi hari ini lebih melihat kepada prestasi dan keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat. Mereka akan menilai dasar, ekonomi dan manfaat yang diterima sebelum membuat pilihan,” katanya.


