
MIRI – Sarawak terus memperkukuh komitmen untuk membangunkan sektor pelancongan yang bertanggungjawab bagi menyeimbangkan kemajuan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, dan kesejahteraan komuniti di negeri itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sektor tersebut bukan sahaja memacu ekonomi, malah berperanan sebagai medium memelihara warisan.
“Pelancongan mesti memberi manfaat bukan sahaja kepada pelawat, tetapi lebih penting kepada masyarakat yang menjadi tuan rumah.
“Ia perlu memelihara warisan, melindungi alam sekitar serta membuka peluang keusahawanan dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Bertanggungjawab (ICRTH) Ke-6 pada Selasa.

Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, kepelbagaian 34 kumpulan etnik merupakan kekuatan utama Sarawak dalam membangunkan industri pelancongan berteraskan identiti budaya.
Menurutnya, sektor berkenaan terus merekodkan pertumbuhan positif pascapandemik hasil sokongan padu pelaburan dalam pemuliharaan warisan, ekopelancongan, dan pelancongan berasaskan komuniti.
Menyentuh tentang kelestarian, beliau memaklumkan pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2024 membuktikan komitmen serius kerajaan negeri dalam melindungi khazanah semula jadi.
Ini menjadikan Sarawak kini memiliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuk Taman Negara Gunung Mulu, di samping pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark.
Kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan kerangka pembangunan dilaksana secara mampan.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pemilihan Miri sebagai lokasi penganjuran ICRTH amat bertepatan kerana ia berfungsi sebagai pintu masuk utama ke utara Sarawak.
Bagi mengukuhkan legasi industri, Sarawak akan meneruskan pelaburan modal insan melalui inisiatif seperti Journal of Responsible Tourism Management, Sarawak Youth Tourism Initiative, dan Responsible Youth Summit.
Pada majlis yang sama, beliau turut merakamkan tahniah kepada para pemenang Responsible Tourism Award Southeast Asia yang berjaya membawa impak positif dalam sektor tersebut.
Delegasi antarabangsa turut disaran untuk mengambil peluang meneroka keunikan budaya dan menikmati hidangan gastronomi popular negeri itu seperti Laksa Sarawak.





