
JOHOR BAHRU – Sebarang tindakan terhadap wartawan dan organisasi media berdaftar perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Media Malaysia (MMM) sebelum siasatan atau tindakan lanjut diambil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap pengamal media dilaksanakan secara adil, telus dan bebas, selain mengelakkan wartawan atau organisasi media berdaftar dikenakan tindakan tanpa penelitian sewajarnya.
“Wartawan tidak sepatutnya mudah dikenakan tindakan, hanya kerana terdapat aduan daripada mana-mana pihak dengan MMM akan menjadi mekanisme semakan awal sebelum sebarang tindakan diambil.
“Biarpun tiada undang-undang di dunia yang beri kebebasan mutlak kepada media untuk menyatakan apa-apa sahaja… Perdana Menteri (dan) pengamal media (masing-masing masih) terikat dengan undang-undang,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu heret wartawan dengan mudah dalam kes yang difikir (mengkritik) jabatan kerajaan.
“Kita wujudkan MMM bagi memudahkan (urusan kedua-dua pihak) kerana kalau ada keterlanjuran di pihak media, ia akan dirujuk ke MMM (tetapi) tidak secara automatik didakwa atau disiasat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang didakwa menyekat kebebasan media dan memberi kesan kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.
Anwar berkata, keperluan merujuk kes kepada MMM hanya terpakai kepada wartawan dan organisasi media yang berdaftar serta menjadi anggota majlis berkenaan, dan tidak melibatkan pendirian peribadi, pandangan parti politik atau pihak yang bukan anggotanya.
“MMM ini diwujudkan bagi memudahkan (hubungan antara kerajaan dan industri media) tetapi ia hanya bagi akaun yang tetap atau syarikat tertentu, bukannya pendirian perseorangan, pandangan parti mahupun bukan anggota Majlis Media.
“Justeru, wartawan yang disebut wartawan dari (agensi) media yang wujud ini, dia tidak automatik didakwa atau disiasat kerana (sebarang bentuk tindakan) harus dirujuk ke MMM, sebelum apa-apa tindakan diambil.
“Ini kawalan yang sangat baik dan sudah dipersetujui di Parlimen,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.




