MUAR – Pakatan Harapan (PH) menyeru anak perantau Johor untuk kembali ke negeri mereka untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyokong dan pengundi sedia ada di Johor belum mencukupi untuk memberikan kemenangan kepada PH.
Sehubungan itu, beliau yang juga Perdana Menteri menggesa penyokong dan pengundi PH yang berada di luar Johor termasuk di Singapura pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Sabtu ini.
“Kita suruh buat PRN pada Ahad, mereka buat hari Sabtu. Kita nak buat akhir bulan, sudah dapat gaji, dia buat awal bulan.
“Ini pilihan raya bagi susah orang mengundi. Patut pilihan raya bagi orang senang mengundi. Tapi ini kenyataan,” katanya ketika berucap pada ceramah mega PH di Serom, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau yakin pengundi Johor termasuk yang berada di luar negeri itu mempunyai kesungguhan tinggi untuk membawa perubahan.
“Tidak kisah sama ada hari mengundi dilakukan pada Sabtu, Ahad, Rabu atau Jumaat.
“Jika rakyat bangkit, mereka mampu membuat keputusan. Saya ingin tegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan perubahan ini sekarang sebelum terlambat,” katanya.
Tambahnya, jika Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam PRN Johor kali ini maka ia akan melahirkan rasa `megah’ dalam parti itu untuk seterusnya mahu mengawal semula negara ini.
“Kemudian dia akan nak atur semua dengan negeri lain, dan dia rasa boleh ambil balik Kerajaan Persekutuan seperti dulu.
“Semoga berjaya, Malaysia. Kalau anda mahu menghentikannya, mulakan dari Johor,” katanya.




