
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Suhaizan Kayat, menyifatkan sambutan yang diterimanya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai amat menggalakkan dan mencerminkan keyakinan rakyat terhadap agenda yang dibawa kerajaan.
Beliau berkata, pelbagai program turun padang dan sesi walkabout yang diadakan sejak pagi hingga petang memberi peluang kepadanya untuk bertemu secara langsung dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Alhamdulillah, sejak pagi hingga petang ini kita melaksanakan pelbagai aktiviti, terutamanya program walkabout bersama masyarakat. Sambutan yang diberikan sangat baik dan menggalakkan.
“Kita dapat bertemu ramai pengundi, mendengar pandangan mereka dan memahami isu yang dihadapi. Secara keseluruhannya, respons yang diterima amat positif,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) selepas sesi ‘Walkabout Meet & Greet’ di Pasar Malam Larkin Aman, pada Ahad.
Menurut beliau, antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk ialah isu perumahan, termasuk keperluan menambah rumah mampu milik serta meningkatkan pengurusan kemudahan perumahan.
Selain itu, isu melibatkan peniaga kecil seperti lesen perniagaan, permit dan akses kepada pembiayaan turut mendapat perhatian masyarakat.
Suhaizan berkata, maklum balas yang diterima itu akan terus diperjuangkan bagi memastikan penyelesaian yang lebih berkesan dapat dilaksanakan pada masa depan.
“Rakyat mahu melihat lebih banyak peluang pemilikan rumah mampu milik dan bantuan kepada peniaga kecil supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan dengan lebih baik.
“Semua pandangan yang diterima sepanjang kempen ini amat bernilai dan akan menjadi panduan dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pengundi DUN Larkin supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian, 11 Julai ini.
Suhaizan turut mengajak pengundi hadir lebih awal ke pusat mengundi bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
“Saya berharap semua pengundi dapat turun mengundi lebih awal dan menggunakan hak demokrasi yang dimiliki. Penyertaan yang tinggi amat penting bagi menentukan masa depan kawasan ini.
“Marilah kita bersama-sama menjayakan proses demokrasi dan membuat pilihan terbaik demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Kerusi DUN Larkin yang berada dalam Parlimen Pulai dan mempunyai 76,662 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor kali ini.
Saingan itu membabitkan calon PH, Suhaizan, penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Hairi Mad Shah, serta Norsinah Abu yang mewakili Parti Bersama Malaysia.



