JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi di Johor supaya membuat pilihan yang tepat dengan memilih barisan kepimpinan negeri yang berintegriti, berwibawa dan komited memperjuangkan kebajikan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, wakil rakyat yang dipilih perlu sentiasa mendampingi masyarakat serta memainkan peranan secara aktif dalam memperjuangkan isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat, bukan hanya tampil ketika kempen pilihan raya.
Menurut beliau, kepimpinan negeri yang diperlukan Johor ialah pemimpin yang mempunyai keberanian untuk menyuarakan kepentingan rakyat serta kesungguhan memastikan setiap permasalahan yang dihadapi mendapat penyelesaian.
“Kepimpinan negeri mestilah meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan.
“Wakil rakyat pula perlu sentiasa bersama masyarakat, berani menyuarakan pandangan, mempertahankan hak rakyat serta berusaha mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi.
“Johor memerlukan barisan pemimpin yang bukan sekadar membawa suara rakyat, malah mempunyai iltizam untuk memastikan setiap agenda yang diperjuangkan dapat direalisasikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, ketika singgah di Taman Melor, Johor Bahru, Anwar turut mengajak masyarakat membina budaya politik yang berteraskan ilmu, fakta dan pemikiran rasional, selain menolak penyebaran fitnah, hasutan serta budaya saling mencerca yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, kemajuan Johor bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk memperkukuh perpaduan, mengamalkan budaya dialog yang sihat dan menghormati kepelbagaian pandangan dalam semangat saling memahami.


