
KANGAR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM150,000 bagi membina dan menambah baik jeti tambatan bot komuniti nelayan di Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini.
Peruntukan itu melibatkan RM100,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan jeti tambatan bot, selain RM50,000 yang disalurkan sebelum ini untuk projek pembinaan tambatan di kawasan sama.
Ketua Pengarah LKIM, Dr. Abdul Salim Tajudin berkata, kemudahan tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 600 nelayan tempatan selain mampu menampung sekitar 200 bot nelayan.
Katanya, penyediaan fasiliti itu menjadi antara usaha LKIM memastikan golongan nelayan mendapat kemudahan lebih baik, selamat dan tersusun untuk menjalankan aktiviti harian mereka.
“LKIM sentiasa memastikan nelayan mendapat manfaat dan kemudahan yang baik serta selamat untuk mereka turun ke laut menerusi penyerahan peruntukan ini.
“Kemudahan ini penting kerana ia bukan sahaja memudahkan urusan tambatan bot, malah membantu nelayan membawa naik hasil tangkapan dengan lebih teratur,” katanya selepas Program Penyerahan Jeti Tambatan Bot kepada Komuniti Nelayan Kurung Tengar di sini hari ini.
Menurut Abdul Salim, dalam program sama, LKIM turut menyerahkan Bantuan Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM22,000 kepada dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor pada 13 Jun lalu.
Katanya, setiap mangsa menerima bantuan sebanyak RM11,000 sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan komuniti nelayan yang ditimpa musibah.
Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat perlu memahami kesukaran serta risiko yang dihadapi golongan nelayan laut dalam usaha mendapatkan hasil tangkapan.
Jelasnya, harga ikan di pasaran banyak bergantung kepada jumlah tangkapan semasa dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Kenaikan harga ikan amat bergantung kepada jumlah tangkapan semasa dan cuaca, justeru masyarakat diharap dapat memahami kepayahan serta risiko yang dihadapi nelayan di laut,” katanya.
Beliau turut menasihati nelayan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika turun ke laut terutama pada musim ribut dan cuaca tidak menentu termasuk memakai jaket keselamatan.
Sementara itu, nelayan tempatan, Ramli Hamad, 49, berkata, pembinaan jeti tambatan bot itu amat diperlukan komuniti nelayan Kurung Tengar kerana kawasan tersebut sebelum ini tidak mempunyai kemudahan sempurna.
“Sebelum ini nak bawa naik hasil tangkapan pun payah, nak turun ke laut pun susah sikit sebab tiada jalan yang sempurna.
“Jadi kami amat bersyukur dengan inisiatif yang dilaksanakan ini kerana ia banyak membantu nelayan di sini,” katanya.




