
SHAH ALAM – Wanita Berdaya Selangor (WBS) terus memperkukuh agenda pemerkasaan wanita di seluruh negeri menerusi pelbagai program dan bengkel kemahiran yang dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), selaras usaha membina komuniti yang lebih berdaya tahan, berkemahiran serta mampu menjana pendapatan.
Sepanjang Julai 2026, WBS memperluaskan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi wanita, kesejahteraan mental, kepimpinan komuniti, ekonomi penjagaan serta kerjasama strategik bagi memastikan lebih ramai wanita mendapat manfaat secara langsung.
Antara program utama yang bakal berlangsung ialah Jelajah Wanita Berdaya Tahan Negeri Selangor Zon Hulu Langat pada 4 Julai di Bangi Convention Centre (BCC), yang menawarkan pelbagai pengisian seperti Fun Run: Ayah Superhero, Karnival Kerjaya MYFutureJobs, Bengkel Career Comeback Program, Selangor Saring serta Pertandingan Bintang Emas Selangor.
Di peringkat DUN pula, pelbagai bengkel kemahiran dianjurkan mengikut keperluan komuniti setempat.
Di DUN Sementa, Pusat Wanita Berdaya (PWB) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 3 berjaya menganjurkan bengkel pembuatan pau gebu pelbagai inti. Program itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik menghasilkan pau berkualiti sekali gus membuka peluang menjana pendapatan melalui perusahaan makanan.
Sementara itu, PWB DUN Dengkil mengadakan Bengkel Minyak Wangi EDP yang memberi latihan kepada peserta menghasilkan wangian eksklusif sendiri. Bengkel berkenaan bukan sahaja mengasah kreativiti, malah membuka ruang kepada peserta meneroka peluang perniagaan dalam industri produk kecantikan dan penjagaan diri.
Di DUN Kuang, orang ramai dijemput menyertai Bengkel Mini Pembuatan Gelang Manik sempena Karnival Made in Kuang. Bengkel berasaskan kraftangan itu bertujuan menggalakkan kreativiti selain memperkenalkan produk buatan tangan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada komuniti.
Dalam usaha memelihara seni kraf tradisional, PWB DUN Tg Sepat turut menganjurkan Bengkel Asas Sulaman Floral (Embroidery). Peserta didedahkan kepada teknik asas sulaman termasuk penggunaan jarum, benang serta penyediaan bingkai sulaman bagi menghasilkan rekaan yang kemas dan berkualiti.
Pelaksanaan pelbagai bengkel di setiap DUN mencerminkan komitmen WBS dalam memastikan program pemerkasaan wanita bukan sekadar memberi ilmu dan kemahiran, malah menjadi platform meningkatkan taraf ekonomi keluarga, memperkukuh jaringan komuniti serta melahirkan lebih ramai wanita yang berdikari.




