
PENANTIAN 40 tahun Mexico meraih kemenangan di pusingan kalah mati Piala Dunia berakhir apabila dua jaringan babak pertama oleh Julian Quinones dan Raul Jimenez memastikan kemenangan 2-0 ke atas Ecuador dalam aksi pusingan 32 terbaik di Stadium Azteca, hari ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan tuan rumah bersama kejohanan mara ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mencipta kemenangan pertama mereka di peringkat kalah mati Piala Dunia sejak menewaskan Bulgaria ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1986.
Mexico bakal berdepan sama ada England atau Republik Demokratik Congo (DR Congo) di pusingan 16 terbaik, dengan perlawanan itu juga menjadi aksi terakhir Piala Dunia di Stadium Mexico City sebelum baki saingan berlangsung di Amerika Syarikat.
“Kami bermain dengan sangat baik pada babak pertama dan pada separuh masa kedua kami berjaya kekal tenang ketika bertahan.
“Melihat kepada suasana stadium dan kegembiraan penyokong, saya yakin wujud hubungan yang sangat erat antara pasukan dan penyokong,” kata pengendali Mexico, Javier Aguirre.
Perlawanan bermula sejam lewat akibat ribut petir, namun lebih 80,000 penyokong yang membanjiri Stadium Azteca tetap mencipta suasana luar biasa.
Ketika wisel penamat ditiup, pemain Mexico meraikan kemenangan bersama penyokong yang menyanyikan lagu mariachi terkenal El Rey di seluruh Stadium Azteca.
“Perlawanan Ahad nanti adalah yang paling penting dalam sejarah pasukan kebangsaan Mexico dan juga sepanjang karier saya,” tambah Aguirre.





