
KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan digesa meneliti semula penetapan had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sabah yang berdepan cabaran geografi dan infrastruktur berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun berkata, meskipun langkah kerajaan menambah baik sistem subsidi serta membendung ketirisan wajar disokong, mekanisme pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan realiti kehidupan rakyat di negeri ini.
“Sabah mempunyai keluasan negeri yang besar, penempatan penduduk yang berselerak serta jaringan jalan raya yang masih mencabar di banyak kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Oleh itu, penggunaan diesel di negeri ini sememangnya lebih tinggi dan tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Menurut Steve, had 200 liter sebulan bukan sahaja memberi cabaran kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman.
Keadaan tersebut, katanya, turut memberi kesan kepada rakyat yang tinggal di bandar dan pekan yang perlu berulang-alik dalam jarak jauh setiap hari untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan serta mengurus pelbagai urusan harian.
“Realiti ini perlu difahami dengan lebih mendalam sebelum sesuatu dasar dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.
“Majoriti rakyat Sabah menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan pikap kerana lebih sesuai dengan keadaan jalan raya di kawasan berbukit, ladang, kampung dan laluan luar bandar yang mencabar.
“Keadaan ini secara langsung menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding pengguna di kawasan bandar besar,” jelasnya..
Tambah Steve, sektor pelancongan luar bandar, pertanian, penternakan, pekebun kecil, nelayan dan perusahaan mikro di Sabah juga sangat bergantung kepada diesel untuk operasi harian, pengangkutan hasil serta logistik.
“Golongan petani, pekebun kecil, penternak dan usahawan luar bandar adalah antara yang paling terkesan kerana mereka perlu membawa hasil pertanian dan bekalan ke pusat pemasaran yang terletak jauh dari kawasan pengeluaran.
“Apabila kos penggunaan diesel meningkat, kesannya akan dirasai di seluruh rantaian ekonomi di mana kos operasi meningkat, kos pengangkutan bertambah, harga barang menjadi lebih mahal dan akhirnya rakyat sebagai pengguna akan menanggung beban tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kelab Komuniti Sayang Sabah menyokong sepenuhnya usaha kerajaan membanteras ketirisan dan penyeludupan subsidi, namun pelaksanaan dasar mestilah mengambil kira keadilan kepada setiap negeri berdasarkan keadaan sebenar.
“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengadakan kajian semula dengan melibatkan kerajaan negeri, agensi berkaitan, pertubuhan masyarakat dan wakil rakyat Sabah supaya keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan realiti kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya
Katanya, Sabah bukan sahaja mempunyai cabaran geografi yang unik, malah merupakan negeri pengeluar minyak dan gas yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
“Oleh itu, rakyat Sabah sewajarnya diberikan pertimbangan yang lebih adil dalam pelaksanaan dasar subsidi bahan api.”
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian kuota subsidi diesel khas untuk Sabah atau mekanisme yang lebih fleksibel mengikut keperluan penggunaan sebenar, khususnya bagi penduduk luar bandar,.
“Selain itu, turut mengambil kira pengguna jarak jauh, pengusaha pelancongan, petani, pekebun kecil, penternak serta sektor ekonomi yang bergantung kepada diesel.
“Hasrat kami bukanlah untuk menolak dasar kerajaan, tetapi agar dasar yang baik dapat dilaksanakan dengan lebih adil, lebih prihatin dan benar-benar menepati keperluan rakyat Sabah.
“Apabila suara rakyat didengar, barulah sesuatu dasar dapat memberi manfaat kepada semua tanpa membebankan mana-mana pihak,” katanya.




