
PANDAN – Komuniti yang kuat bermula dengan satu perkara iaitu saling mendengar, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (TZA).
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu berkata, menerusi Program Santai Sihat Komuniti beliau akan mendengar terus pandangan dan harapan penduduk.
“Terima kasih kepada semua warga Taman Muda yang hadir memeriahkan Program Santai Sihat Komuniti. Banyak pandangan, cadangan dan harapan dikongsi hari ini. Insya-Allah, apa yang boleh kita bantu, kita usahakan bersama.
“Setiap kali kita buat program, kita adakan ruang Pohon Harapan untuk penduduk berkongsi harapan mereka,” kongsinya di media sosial pada Isnin.
Katanya, antara isu yang dibangkitkan ialah keperluan bonggol di kawasan berhampiran Pasar Taman Muda.
“Saya dengar semalam pun hampir ada kemalangan.
“Isu ini sebenarnya dah lama dipantau oleh YB Yew, ADUN Teratai, dan telah pun dibawa untuk perhatian MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya.
Beliau yang juga pegawai pemantau untuk Parlimen Pandan, iaitu kawasan angkat Perdana Menteri berharap masalah dan aduan penduduk dapat diselesaikan segera.






