
TUARAN – Polis mengesahkan video memaparkan pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Pekan Tuaran yang kembali tular di media sosial sejak kelmarin adalah rakaman kejadian lama yang berlaku pada 19 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, video berkenaan dimuat naik semula pada 27 Jun oleh salah seorang individu yang terbabit sebelum tersebar di beberapa akaun media sosial sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai.
“Siasatan mendapati perselisihan itu berpunca daripada salah faham akibat pengaruh alkohol serta beberapa isu lama antara kedua-dua kumpulan.
“Bagaimanapun, kejadian itu hanya membabitkan pertengkaran mulut tanpa penggunaan sebarang senjata dan tidak mengakibatkan kecederaan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Tambahnyq, polis telah mengambil tindakan dengan menahan beberapa individu yang terbabit selain memanggil kedua-dua pihak untuk diberi amaran dan nasihat agar menyelesaikan perselisihan secara baik.
Katanya, hasil perbincangan yang diadakan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.
Dalam pada itu, Noraidin berkata, individu yang memuat naik semula video berkenaan turut dipanggil bagi dirakam keterangan selepas dipercayai berbuat demikian ketika berada di bawah pengaruh alkohol.
“Video itu dipadamkan daripada akaun media sosialnya pada hari yang sama, namun telah tersebar semula menerusi beberapa akaun lain sehingga menjadi tular,” kongsinya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video berkenaan tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Polis akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan atau tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” ujarnya.





