
KANOWIT – Penganjuran Program HASRAT MADANI menjadi platform strategik dalam memperkukuh perpaduan, selain merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat menerusi perkongsian maklumat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, program berteraskan pendekatan ‘daripada komuniti kepada komuniti’ itu mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai inisiatif dasar kerajaan.
Menurut beliau, ia secara tidak langsung memupuk semangat saling menghormati dan meraikan kepelbagaian yang menjadi teras gagasan Malaysia MADANI.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat melalui perkongsian ilmu, malah membantu rakyat memahami pelbagai bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.
“Ilmu yang diperoleh juga perlu dikongsikan kepada penduduk lain supaya manfaatnya dapat dirasai bersama,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Rumah Juro pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Kanowit selaku penganjur, dan berharap agar pelaksanaannya dapat diperluaskan ke kawasan lain termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan.
Mengulas lanjut, Anyi mengingatkan agensi kerajaan supaya sentiasa mengamalkan pendekatan profesional ketika berurusan dengan masyarakat.
Tambahnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) juga perlu lebih proaktif menyelesaikan isu penduduk, termasuk memberi perhatian sewajarnya terhadap isu pelantikan tuai rumah.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr. Stephen William berkata, Program HASRAT MADANI wajar diteruskan sebagai medium berkesan merapatkan jurang komunikasi, khususnya di kawasan pedalaman.
“Agensi kerajaan perlu sentiasa turun padang untuk melihat sendiri kesusahan rakyat. Melalui program seperti ini, masyarakat bukan sahaja menerima maklumat yang tepat, malah mengetahui saluran betul untuk mendapatkan bantuan.
“Kita juga berharap prosedur penyampaian bantuan kerajaan dapat dipermudahkan bagi mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus memudahkan penduduk luar bandar memperoleh hak yang layak mereka terima,” tegasnya.



