KLUANG – Seorang ibu terharu apabila calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah dan ratusan pengikut jentera BN hari ini mendendangkan lagu hari jadi untuk anaknya.
M Hamala, 32, berkata, dia bersama anaknya, R Kirvaashini, 9, sebelum itu diundang ke sebuah hotel untuk menerima sumbangan daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, ketika di luar lobi hotel, Syed Hussien sempat beramah mesra bersama mereka sekeluarga dan menyapa anak perempuannya itu.
“Calon BN tanya saya datang dari mana, dengan siapa? Saya tunjuk bersama anak. Dia sapa anak saya dan saya beritahu hari ini hari lahirnya.
“Secara tiba-tiba, beliau (Syed Hussien) terus mengajak orang ramai yang berada di pekarangan hotel untuk sama-sama menyanyikan lagu Happy Birthday kepada anak saya,” katanya ketika ditemui di bandar ini, hari ini.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, tindakan spontan itu nyata membuatkan anak ketiganya teruja dan gembira.
“Saya sebagai ibu rasa terkejut bila beliau (Syed Hussien) terus cakap ‘hari ini hari jadi adik ni, jom kawan-kawan kita nyanyi untuk dia’.
“Walaupun itu perkara biasa bagi orang lain, namun untuk kami sekeluarga, ia sangat bermakna apatah lagi kami pula hadir sebagai penerima sumbangan. Tetapi, anak kami sudi diraikan bersama hampir 100 orang di sini.
“Walaupun tak kenal Syed Hussien secara peribadi, namun namanya bukanlah asing dalam kalangan kami kerana kelibatnya juga sering berada di DUN Mahkota,” katanya.



