
PUTRAJAYA – Malaysia menegaskan bahawa penghantaran pulang komuniti Rohingya secara selamat ke Myanmar kekal menjadi penyelesaian terbaik bagi menangani krisis kemanusiaan yang berlarutan sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu disuarakan dalam pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, yang turut memberi tumpuan kepada perkembangan semasa di Myanmar dan nasib pelarian Rohingya.
Menurut beliau, Malaysia menghargai komitmen Bangladesh yang terus memainkan peranan penting dalam membantu komuniti Rohingya yang berlindung di negara itu sejak tercetusnya konflik di Myanmar.
“Malaysia kekal berpandangan bahawa penyelesaian terbaik ialah penghantaran pulang mereka secara selamat ke Myanmar,” katanya.

Anwar berkata, kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan meneruskan usaha damai melalui penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang berkekalan terhadap krisis tersebut.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin sebelum mereka mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang berlangsung dalam suasana penuh hormat dan persefahaman.
Selain isu Rohingya, Malaysia dan Bangladesh turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pendidikan, pembangunan modal insan, pertanian, industri halal serta pengurusan tenaga kerja.








