Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai rekod yang baik dan dihormati masyarakat antarabangsa dalam menguruskan isu pelarian meskipun negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau protokol berkaitannya.

Pakar Undang-Undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang juga bekas Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, pendekatan Malaysia selama ini berpaksikan prinsip kemanusiaan serta pematuhan kepada piawaian asas hak asasi manusia sejagat.

Katanya, walaupun Malaysia tidak terikat secara langsung dengan Konvensyen Pelarian 1951, negara masih mengambil kira prinsip yang terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menerusi kerangka Akta Suhakam 1999 (Akta 597).

“Memang betul Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan juga bukan ahli kepada protokolnya. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa Akta Suhakam menjurus kepada pemakaian prinsip-prinsip Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan secara tidak langsung Malaysia perlu mematuhinya.

“Sebab itulah apabila kita menerima pelarian, walaupun tidak menandatangani konvensyen berkenaan, kita masih berpegang kepada prinsip kemanusiaan dan memastikan hak-hak asas mereka dihormati,” katanya kepada kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan aktivis Noor Azizah berhubung layanan terhadap komuniti Rohingya di Malaysia.

Noor Aziah berkata, pengalaman Malaysia menguruskan pelarian dari pelbagai negara termasuk Vietnam, Bosnia, Syria, Palestin dan Rohingya membuktikan komitmen negara dalam menangani isu kemanusiaan secara bertanggungjawab.

“Kita mempunyai pengalaman yang baik dan dihormati kerana bersedia menerima pelarian serta memberikan bantuan asas kepada mereka. Dari segi kemanusiaan, keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan perlindungan sentiasa diberikan setakat kemampuan negara,” katanya.

Mengulas kritikan segelintir pihak terhadap layanan Malaysia terhadap pelarian Rohingya, beliau berpandangan dakwaan sedemikian perlu dinilai secara adil berdasarkan rekod dan usaha yang telah dilakukan negara selama ini.

Katanya, Malaysia tidak pernah menolak pelarian yang berada dalam keadaan terdesak, malah pernah memberikan perlindungan sementara atas dasar kemanusiaan termasuk kepada pelarian yang tiba melalui laluan laut.

Pada masa sama, beliau mengakui Malaysia masih memerlukan satu dasar yang lebih jelas dan menyeluruh berkaitan pengurusan pelarian bagi memastikan aspek pendaftaran, penempatan, pendidikan serta peluang pekerjaan dapat ditangani secara lebih sistematik.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 23 boleh menjadi langkah penting dalam memperkemaskan tadbir urus pelarian, termasuk membolehkan mereka didaftarkan secara rasmi dan diberikan dokumen pengenalan yang sesuai.

Noor Aziah turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai kuasa berdaulat untuk menentukan dasar imigresen dan pelarian negara, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek kemanusiaan serta kepentingan nasional.

“Malaysia negara berdaulat dan kita mempunyai kuasa untuk menentukan undang-undang sendiri. Namun dalam melaksanakan dasar itu, kita juga perlu memastikan hak minimum golongan pelarian dipelihara mengikut prinsip kemanusiaan sejagat.

“Kita tidak boleh menimbulkan kebencian terhadap mereka yang berada di sini kerana majoritinya hanya mencari perlindungan sementara sebelum ditempatkan ke negara ketiga,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga tidak perlu melihat pelarian sebagai ancaman kepada rakyat tempatan kerana kebanyakan mereka hanya menunggu proses penempatan semula yang dikendalikan agensi antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menilai isu pelarian secara lebih objektif dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej Malaysia atau memburukkan lagi keadaan golongan berkenaan.

“Malaysia sebenarnya mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan pelarian dan perkara itu diiktiraf masyarakat antarabangsa. Apa yang diperlukan ketika ini ialah dasar yang lebih jelas supaya pengurusan pelarian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Related Posts

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat sekali lagi dicemari pertikaman lidah apabila Ahli Parlimen (PN) Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen (PH) Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan saling berbalas…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Akta Jenayah Komputer 1997 akan dimansuh, RUU Jenayah Siber 2026 dibentang demi pemerkasaan keselamatan siber

PUTRAJAYA – Akta Jenayah Komputer 1997 bakal dimansuhkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada Isnin. Timbalan Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Terjejas projek pelebaran Jalan Utara, rumah SMJ jadi nafas baharu

Terjejas projek pelebaran Jalan Utara, rumah SMJ jadi nafas baharu

Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital akibat tumpahan merkuri

Lima pekerja kurier dikejarkan ke hospital akibat tumpahan merkuri

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah