
MIRI – Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin menyantuni penduduk setempat di Riam Mosjaya di sini bagi meraikan sambutan Hari Bapa, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin hadir bersama Pasukan Perkhidmatan Bergerak Senadin berkesempatan beramah mesra bersama masyarakat di kawasan berkenaan.
Sebagai tanda penghargaan, beliau turut mengagihkan hadiah kepada beberapa bapa yang ditemui sepanjang program tersebut bagi menghargai peranan mereka sebagai tunjang keluarga.
“Terima kasih kepada semua bapa atas segala pengorbanan, komitmen dan kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga.
“Jasa dan pengorbanan seorang bapa amat bernilai dalam membentuk keluarga yang bahagia serta masyarakat yang sejahtera,” katanya.
Menurut beliau, golongan bapa memainkan peranan amat besar dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian sesebuah keluarga melalui pengorbanan, dedikasi serta kasih sayang.
Beliau turut mendoakan agar semua bapa sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan berpanjangan serta berpeluang meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga.
Program mesra rakyat itu mendapat maklum balas positif penduduk selain menjadi platform berkesan untuk mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dan komuniti setempat di Senadin.






