
SEBERANG PERAI – Kerajaan memberi jaminan akan terus membantu syarikat media yang berdepan tekanan ekonomi bagi mengelakkan lebih ramai pengamal media kehilangan pekerjaan susulan perubahan landskap industri dan dominasi platform digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan syarikat media yang berdepan masalah sehingga terpaksa mempertimbangkan langkah pemberhentian pekerja.
Menurut beliau, isu ekonomi yang menekan industri media ketika ini perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada kelangsungan operasi organisasi media dan kebajikan pekerja.
“Antara perkara yang paling mencabar pada ketika ini ialah isu ekonomi yang memberi tekanan besar kepada syarikat-syarikat media.
“Ini berlaku apabila platform-platform media sosial tidak membantu memberi sama ada imbuhan ataupun bayaran yang setimpal dengan jumlah kandungan yang disiar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Komunikasi dan Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan akan berusaha mencari jalan penyelesaian sekiranya terdapat syarikat media yang berdepan kesukaran sehingga menjejaskan peluang pekerjaan pengamal media.
“Nak buat apa-apa yang melibatkan pekerja itu datang jumpa saya dan saya tengok macam mana saya boleh buat.
“Kalau syarikat telekomunikasi yang besar pun saya bantu, apatah lagi rakan-rakan media yang sangat berminat untuk terus bekerja,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berharap pihak pengurusan syarikat media memaklumkan lebih awal kepada kerajaan sekiranya berdepan masalah supaya langkah intervensi dapat dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Beritahu kepada saya, tetapi janganlah esok nak umum (pemberhentian pekerja), hari ini baru nak beritahu. Janganlah. Ini termasuk pihak pemegang taruh,” katanya.




