
IPOH – Lebih 200 buah rumah di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini mengalami kerosakan selepas hujan lebat berterusan disusuli angin kencang hampir dua jam melanda kawasan berkenaan pada Jumaat petang.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta berkata, kejadian ribut itu berlaku kira-kira jam 3.37 petang dan pihaknya menerima maklumat awal daripada Penghulu Tanjung Rambutan bagi menjalankan pemantauan di kawasan terjejas.
“Antara lokasi yang terkesan ialah Hala Tasek Timur 1 membabitkan 22 rumah, Lorong Bercham 19 (22 rumah), Dataran Tasek Timur 6 (177 rumah), Lintasan Tasek Timur 1 (dua rumah), Lintasan Tasek Timur 3 (dua rumah), Hala Tasek Timur 34 (10 rumah) serta Laluan Tasek Timur 15 (lima rumah).
“Berdasarkan pemantauan awal, terdapat banyak tiang elektrik tumbang di kawasan perumahan dan jalan raya akibat angin kencang yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Dewan Dato Sam kini berada dalam keadaan siap siaga untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan memerlukan.
Malah, Pegawai Daerah turut mengarahkan semua agensi berkaitan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembukaan PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan memutuskan bekalan elektrik di lokasi kejadian buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan.
Dalam masa sama, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama pasukan APM giat menjalankan operasi pembersihan termasuk mengalihkan pokok tumbang dan membersihkan kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut.
Setakat ini, pihak berkuasa terus memantau keadaan di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan penduduk serta mempercepatkan kerja-kerja pemulihan.






