
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan kerja-kerja perobohan struktur penjaja di Jalan 3/48A berhampiran UTC Sentul yang tular di media sosial bertujuan menamatkan atau memindahkan aktiviti perniagaan di lokasi berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kerja perobohan itu adalah sebahagian daripada proses pembangunan semula kawasan penjaja yang melibatkan 33 struktur penjaja dengan 20 penjaja, masih aktif menjalankan perniagaan.
Menurut beliau, kawasan penjaja tersebut telah menjadi lokasi perniagaan komuniti setempat sejak hampir 30 tahun lalu dan menjadi antara tumpuan penduduk sekitar.
“Proses ini bukan dilaksanakan secara tergesa-gesa. Perancangan projek telah bermula lebih awal melalui Program Lestari Niaga dan beberapa siri perbincangan telah diadakan sebelum sesi libat urus bersama penjaja serta pihak berkepentingan.
“Ia dilaksanakan pada 10 Februari 2026 bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung cadangan pembangunan semula kawasan tersebut.
“Mengambil kira kepentingan lokasi tersebut kepada komuniti penjaja dan pelanggan sedia ada, DBKL memutuskan untuk membangunkan semula kemudahan penjaja di kawasan yang sama supaya aktiviti perniagaan dapat diteruskan setelah projek siap dilaksanakan,” katanya
Mengulas lanjut, Fadlun berkata, demikian pada sidang media selepas melawat tapak perniagaan ketika sesi lawatan inisiatif lestari niaga Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Menurut beliau, kerja-kerja perobohan struktur sedia ada adalah langkah yang perlu bagi membolehkan pembinaan semula kemudahan yang lebih selamat, lebih tersusun dan memenuhi keperluan semasa.
“Pada peringkat awal, beberapa pilihan termasuk cadangan penempatan di lokasi alternatif telah diteliti.
“Bagaimanapun, selepas mengambil kira pandangan penjaja, faktor lokasi, akses pelanggan serta keperluan komuniti setempat, DBKL memutuskan untuk membangunkan semula kemudahan penjaja di kawasan yang sama,” katanya.
Menurut beliau, melalui projek itu sebanyak 20 kiosk modular baharu akan dibina lengkap dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, ruang makan berbumbung, pencahayaan yang lebih baik, tempat mencuci tangan, kemudahan pengurusan sisa serta penambahbaikan sistem saliran.
Dalam masa sama, katanya, DBKL turut memperkenalkan bantuan khas kepada penjaja yang terlibat sepanjang tempoh pembangunan semula dilaksanakan.
“Setiap penjaja akan menerima bantuan RM1,500 sebulan selama tiga bulan sehingga projek berkenaan siap.
“Pendekatan itu diambil bagi memastikan penjaja dapat kembali berniaga di lokasi yang sama selepas projek siap tanpa perlu berpindah ke tapak sementara. Projek berkenaan bukan bertujuan menamatkan aktiviti perniagaan penjaja, sebaliknya sebahagian daripada usaha DBKL menyediakan kemudahan yang lebih baik,” katanya.







